Thursday, April 27, 2017

KERJAYA PELANCONGAN KIAN BERKEMBANG


Industri pelancongan malaysia sedang berkembang pada kadar yang amat pesat sekali. Peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia adalah hasil usaha promosi dan menggalakkan pelancongan yang strategik lagi sistematik yang bertujuan untuk memasarkan Malaysia kepada masayarakt antarabangsa. Promosi Tahun Melawat Malaysia telah menampakkan pulangan yang memberangsangkan. Pertambahan jumlah pelancong yang melawat Malaysia saban tahun memberi beberapa implikasi yang penting terhadap sumber daya tenaga manusia yang diperlukan untuk menyokong industri ini, terutamanya sumber manusia dalam sektor perkhidmatan.

Pemandu pelancong merupakan salah satu sektor yang penting dalam industri pelancongan yang berhubung secara terus dengan para pelancong. Pemandu pelancong memainkan peranan yang amat besar dalam memberikan gambaran yang jelas, tepat dan menarik mengenai Negara Malaysia kepada pelancong. Pemandu pelancong yang berketerampilan mampu meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada para pelancong untuk menarik minat mereka kembali mengunjungi Malaysia.

Bilangan bumiputera yang aktif sebagai pemandu pelancong masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Begitu juga, bilangan agensi pelancongan Bumiputera yang beroperasi di Malaysia masih lagi kecil berbanding dengan golongan bukan Bumiputera. Tahap kemahiran bahasa antarabangsa selain daripada Bahasa Inggeris dalam kalangan Bumiputera juga perlu dibaiki lagi.


Adalah jelas bahawa Bumiputera perlu mempergiatkan usaha dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar ini, yang mungkin merupakan kerjaya yang agak asing bagi masyarakat bumiputera sebelum ini. Minat menjadi pemandu pelancong perlu dipupuk sejak dari awal lagi dan penerangan kerjaya perlu diadakan di sekolah-sekolah untuk mempromosikan bidang pemandu pelancong kepada para pelajar.

Intensif dan galakan tertentu juga perlu untuk menarik minat para belia untuk menjadi pemandu pelancong. Kerjaya sebagai pemandu pelancong perlu dilihat dari skop yang lebih luas iaitu bukan semata-mata sebagai seorang pegawai penerangan tetapi sebagai seorang pegawai pemasaran yang cuba mempromosikan produk-produk pelancongan yang kompetatif. Kemampuan seorang pemandu pelancong mempamer, menerang dan meyakinkan para pelancong mengenai kualiti dan keunggulan produk pelancongan di Malaysia adalah satu kejayaan peribadi dan kejayaan negara keseluruhannya.

Bumiputera sebagai satu kumpulan etnik yang disignifikasikan di Malaysia sewajarnya turut serta menjayakan aspirasi negara memperkenalkan Malaysia kepada komuniti antarabangsa dengan menceburi bidang pemandu pelancong.

No comments:

Post a Comment